Libatkan BN Sabah dalam majlis tindakan MA63, gesa Salleh

Libatkan BN Sabah dalam majlis tindakan MA63, gesa Salleh

Salleh Said Keruak berkata, BN Sabah sudah sekian lama terlibat dalam perbincangan mengenai autonomi dan hak Sabah.

Salleh Said Keruak menyokong cadangan untuk meningkatkan perwakilan Malaysia Timur dalam majlis MA63, tetapi menggesa BN Sabah turut dilibatkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin veteran Sabah menggesa kerajaan persekutuan menyertakan wakil Barisan Nasional negeri dalam majlis yang ditubuhkan untuk melaksanakan tindakan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Salleh Said Keruak, seorang pemimpin Umno Sabah dan bekas ketua menteri memberitahu FMT, beliau menyokong cadangan untuk meningkatkan perwakilan Malaysia Timur dalam majlis MA63, tetapi menggesa BN Sabah turut dilibatkan.

“Libat urus kami dalam perbincangan mengenai autonomi dan hak Sabah, sekian lama sebelum penubuhan majlis itu, membuktikan komitmen mendalam BN Sabah terhadap kebajikan Sabah.

“Tempat dalam majlis itu akan memastikan usaha ini diterjemahkan secara langsung kepada dasar yang boleh diambil tindakan, bukan sahaja memberikan manfaat kepada komuniti kita tetapi seluruh wilayah dalam semangat persekutuan sejati,” kata Salleh, yang juga Adun Usukan dan bekas Ahli Parlimen Kota Belud.

Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, draf memorandum penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 sudah siap dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa teknikal tersebut, namun keputusan akan dimuktamadkan bulan ini, kata Fadillah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.