
Polis berkata, mangsa mendakwa sedang memandu kereta Toyota Vios untuk pulang ke rumahnya di Simpang Ampat, dekat Bukit Mertajam apabila ditahan anggota polis menaiki dua kereta MPV, pada 10.15 malam Khamis.
“Mangsa mendakwa ditahan dua kereta MPV dan tiga anggota keluar menjalankan pemeriksaan dan sebelum menemui satu beg plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah.
“Mangsa menafikan dadah itu miliknya dan anggota di lokasi mengatakan dadah terbabit adalah milik mangsa dan dia boleh dikenakan hukuman berat.
“Kemudian, datang sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota sebelum mengarahkan mangsa membayar RM10,000 bagi mengelak ditahan,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin kepada Berita Harian.
Khaw berkata, selepas “perbincangan” antara mangsa dengan semua anggota berkenaan, mangsa dilaporkan membuat bayaran RM4,500 kepada seorang daripada anggota di lokasi lain, tidak jauh dari lokasi dia ditahan.
Katanya, tidak puas hati dengan kejadian, mangsa bertindak membuat laporan dan bertindak atas aduan membawa kepada tangkapan lima anggota tersebut bagi membantu siasatan.
Kelima-lima mereka itu kini direman hingga Selasa dengan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.