
“Kalau pemain itu umur 36 tahun, kalau boleh main, dan OK lah. Tak ada masalah,” kata Setiausaha Agung Noor Azman Rahmat kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin yang menganggap tidak adil memberikan kerakyatan kepada pemain bola sepak yang mungkin sudah melepasi usia kemuncak.
Khairy turut berkata, naturalisasi untuk pemain asing yang lebih berusia juga menjadi satu penghinaan besar buat ibu rakyat Malaysia yang telah lama memperjuangkan hak kewarganegaraan untuk anak mereka.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata beliau tersinggung dengan cadangan kerakyatan untuk pemain bola sepak asing yang lebih berusia.
Azman berkata pemain bola sepak asing mesti bermain dalam liga tempatan selama lima tahun berturut-turut untuk layak bagi proses naturalisasi.
“Kalau umur 23 tahun, dia kena umur 18 tahun macam itu main di Liga Malaysia secara profesional selama lima tahun berturut-turut untuk kita daftarkan di Fifa,” katanya.
Mengikut peraturan Fifa, seorang pemain mesti berterusan tinggal di sesebuah negara selama sekurang-kurangnya lima tahun selepas mencapai usia 18 tahun untuk layak mewakili sesebuah negara dalam arena bola sepak antarabangsa.
Peraturan itu terpakai untuk pemain yang mahu mendapat kelayakan bermain untuk pasukan kebangsaan menerusi naturalisasi, dan tiada pertalian biologi dengan negara berkenaan.
Azman berkata, setakat ini hanya tujuh pemain bola sepak asing dinaturalisasikan.
Mereka adalah Liridon Krasniqi (Kosovo), Lee Tuck (England), Endrick dos Santos Parafita (Brazil), Paolu Josué (Brazil), Guilherme de Paula (Brazil), Ezequiel Agüero (Argentina), and Romel Morales (Colombia).
Azman berkata, daripada tujuh individu ini, FAM hanya mengusahakan naturalisasi untuk Krasniqi dan de Paula, manakala selebihnya dinaturalisasi menerusi kelab tempatan masing-masing.