Jaga sekolah ditahan cabul murid tahun 1

Jaga sekolah ditahan cabul murid tahun 1

Polis berkata suspek disyaki memeluk dan mencabul pelajar perempuan berusia tujuh tahun itu di hadapan kelas.

Ketua Polis Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. (Gambar Freepik)
IPOH:
Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Teluk Intan ditahan, kerana disyaki mencabul kehormatan seorang murid tahun satu di hadapan sebuah kelas, dalam satu kejadian di sekolah tersebut.

Ketua Polis Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata polis bertindak menahan lelaki tempatan berusia 45 tahun itu semalam, setelah menerima laporan daripada rakan setugas suspek.

“Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi semalam sewaktu pengadu sedang meronda di kawasan sekolah tersebut.

“Menurut pengadu, suspek bertindak memeluk dan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan yang berusia tujuh tahun di hadapan kelas, sebelum menahan suspek pada hari yang sama di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Adnan berkata menurut mangsa, suspek telah beberapa kali melakukan perbuatan mencabul mangsa di sekolah yang sama dan hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek, dia mengaku terlibat dengan perkara tersebut.

Beliau berkata suspek kini direman enam hari bermula hari ini sehingga 6 Feb, untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.