Bantu rakyat, bukan serang kawan, Pemuda Umno bidas Hassan

Bantu rakyat, bukan serang kawan, Pemuda Umno bidas Hassan

Ketua Penerangan Pemuda Umno Sollehin Mohd Tajie berkata rakyat akan menyokong PH-BN jika masalah mereka diselesaikan.

Sollehin Mohd Tajie berkata Hassan Karim perlu memberi nasihat kepada menteri PKR yang dilihat ‘hilang arah’.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim digesa lebih fokus membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat, berbanding “terus menyerang” parti itu dengan menyasarkan Zahid Hamidi berundur sebagai presiden Umno.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Sollehin Mohd Tajie, yakin pengundi tanpa mengira kaum dan agama akan menyokong gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) pada PRU16, jika masalah “bakul ekonomi rakyat” dapat diselesaikan.

“Ini pasti dapat mengatasi kebimbangan Hassan tentang penurunan sokongan undi Melayu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan wakil rakyat PKR itu, Umno perlu diterajui muka baharu tidak hanya “menumpang dahan” PH pimpinan Anwar Ibrahim dalam berdepan PRU16.

Hassan berkata, Umno perlu rombakan pemimpin baharu untuk mendapatkan undi Melayu bagi BN-PH, dan selagi ia dipimpin Zahid, orang Melayu sukar menyokong Umno, BN, atau gabungan dipimpin perdana menteri dan timbalan perdana menteri itu.

BN dan PH membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan perpaduan bersama beberapa gabungan politik lain, selepas tiada parti mampu menubuhkan kerajaan sendiri selepas PRU15.

Pada konvensyen kerajaan perpaduan di Ipoh 28 Jan lalu, Zahid menyatakan beliau yakin kerajaan perpaduan akan kekal memerintah hingga selepas PRU16.

Mengulas lanjut, Sollehin berkata Hassan sebagai wakil PKR juga perlu menitipkan nasihat kepada Rafizi Ramli supaya menumpukan masa dan tenaga sebagai menteri untuk menangani isu ekonomi negara sesuai dengan pelbagai formula dicanangnya ketika menjadi pembangkang.

Dakwanya, beberapa menteri PKR termasuk Rafizi dilihat hilang arah malah lebih sibuk mempromosi diri dalam program bual bicara podcast dan rancangan realiti televisyen.

“Saya pelik apakah tindakan Rafizi ini sebagai protes kerana tidak mendapat perhatian Anwar sedangkan individu yang sebelum ini menentang parti beliau semakin mendapat tempat di hati presiden beliau sendiri.

“Saya cadangkan Hassan memberi cadangan kepada Anwar untuk mengerah menteri bawah parti beliau yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai formula untuk bergerak lebih kompeten dan mempraktikkan semua formula beliau sebelum ini,” katanya.

“Ini kerana, setelah setahun semua formula tersebut dilihat hanya omongan kosong bagi menyedapkan halwa telinga penyokong ketika pilihan raya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.