Tiada perubahan kelulusan konsert Ed Sheeran, kata Fahmi

Tiada perubahan kelulusan konsert Ed Sheeran, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata keputusan berhubung kelulusan konsert artis luar negara melalui saringan teliti yang dibuat 16 agensi.

Ed Sheeran bakal mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Feb ini. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Buat masa ini belum ada perubahan berhubung keputusan meluluskan penganjuran konsert Ed Sheeran bulan depan, kata Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, menteri komunikasi ambil maklum gesaan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor supaya kementeriannya membatalkan konsert yang diluluskan sebelum ini.

“Buat masa ini belum ada apa-apa perubahan kepada kelulusan telah diberi sebelum ini.

“Kita ambil maklum pandangan. Tetapi ada proses juga…akan teliti sekiranya perlu diambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau mengulas gesaan Wan Salim supaya kerajaan membatalkan konsert itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Feb ini.

Wan Salim dilaporkan memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert.

Katanya, apatah lagi pandangan mengenai larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bukan merupakan ijtihad ulama tetapi berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan hadis.

Ed Sheeran didakwa menyokong aktiviti LGBT dan pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 di stadium sama.

Sementara itu, Fahmi berkata sebarang keputusan berhubung kelulusan konsert artis luar negara melalui saringan teliti, yang dibuat 16 agensi dalam Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Katanya, antara agensi terlibat adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sudah pasti saringan teliti dibuat semua agensi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.