Pengarah Bukit Aman dilantik ketuai agensi sempadan negara

Pengarah Bukit Aman dilantik ketuai agensi sempadan negara

Hazani Ghazali menjadi ketua pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia yang pertama.

Hazani Ghazali mempunyai legasi dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Lahad Datu yang mengawal keselamatan di Timur Sabah.
PUTRAJAYA:
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali dilantik sebagai ketua pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama, berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khas.

Beliau berkata Hazani merupakan individu berpengalaman dan mempunyai legasi dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Lahad Datu yang mengawal keselamatan di Timur Sabah.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

“Kita perlukan individu yang mempunyai commanding skill dan tugas utama beliau kini adalah menyegerakan pembikinan rang undang-undang ke arah menjelmakan entiti MCBA ini,” katanya.

Saifuddin berkata pihaknya menjangkakan Rang Undang-Undang MCBA dibentangkan pada sesi parlimen Mac ini.

MCBA merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasa tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Saifuddin sebelum ini dilapor berkata inisiatif SBA dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) serta Jabatan Kastam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.