Penerbit, pengarah ‘Mentega Terbang’ dibenar cabar pengharaman filem

Penerbit, pengarah ‘Mentega Terbang’ dibenar cabar pengharaman filem

Hakim Amarjeet Singh mengeluarkan perintah itu selepas mendengar bantahan daripada peguam negara bahawa kebenaran tidak sepatutnya diberikan.

Mahkamah Tinggi telah membenarkan pengarah “Mentega Terbang” Khairi Anwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng untuk mencabar larangan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap filem itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan pengarah dan penerbit filem tempatan “Mentega Terbang” memulakan cabaran undang-undang terhadap kerajaan berhubung keputusannya mengharamkan filem itu.

Ketika mengeluarkan perintah itu, Hakim Amarjeet Singh menolak bantahan yang dibangkitkan bagi pihak peguam negara.

Terdahulu, Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu berikutan wujudnya klausa penyingkiran dalam Akta Penapisan Filem 2002.

Beliau berkata Seksyen 48 Akta tersebut menyatakan bahawa tiada keputusan menteri, lembaga atau jawatankuasa rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta ini boleh disemak oleh mahkamah atas sebarang alasan.

Bagaimanapun, peguam Zaid Malek, yang mewakili pengarah Khairi Anwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng, berhujah bahawa tiga keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah memutuskan bahawa klausa penyingkiran adalah tidak berperlembagaan.

Amarjeet berkata kerajaan boleh mengambil kira perkara itu semasa pendengaran substantif permohonan itu.

Amarjeet juga menetapkan pengurusan kes pada 14 Feb.

Filem itu yang ditayangkan di platform penstriman dalam talian sebelum ini, dikecam segelintir masyarakat kerana menyinggung ajaran dan akidah Islam.

Kementerian dalam negeri mengharamkan filem itu pada 1 Sept.

Khairi Anwar dan Tan sedang berusaha untuk membatalkan larangan itu dan memohon pengisytiharan bahawa Akta Penapisan Filem adalah tidak berperlembagaan.

Dalam permohonan itu, mereka berkata larangan terbabit “tidak rasional” kerana melanggar hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga berkata larangan itu telah menjejaskan pendapatan mereka kerana filem terbabit tidak boleh ditayangkan atau diedarkan di mana-mana di negara ini.

Filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan konflik keagamaan dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.