
Wanita itu didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang, kira-kira jam 2.56 pagi pada 27 Jun 2022 lalu, lapor Sinar Harian.
Tertuduh berusia 38 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau dengan sebat.
Ibu kepada lima orang anak yang tidak diwakili peguam itu merayu dikenakan hukuman rendah kerana dia mempunyai tiga anak yang masih kecil berusia enam tahun hingga enam bulan termasuk seorang OKU.
Katanya, dia yang juga seorang pesakit psikiatri mengalami tekanan sejak kejadian itu sehingga doktor terpaksa menambah dos ubatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mohd Sabri Ismail kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 8 Julai tahun lalu.