Ekonomi Malaysia dianggar tumbuh 3.4% pada suku keempat 2023

Ekonomi Malaysia dianggar tumbuh 3.4% pada suku keempat 2023

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor perkhidmatan terus mengekalkan kedudukan sebagai pendorong utama prestasi ekonomi.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mengukur output sebenar dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik mencatatkan peningkatan 0.6% tahun ke tahun pada Nov 2023. (Gambar Pexels)
KUALA LUMPUR:
Ekonomi Malaysia dianggarkan tumbuh sebanyak 3.4% pada suku keempat 2023, menunjukkan sedikit peningkatan daripada 3.3% pada suku tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, secara khususnya, sektor perkhidmatan terus mengekalkan kedudukan sebagai pendorong utama prestasi ekonomi pada tempoh berkenaan, dengan pertumbuhan positif direkodkan di semua sektor lain.

Bagi prestasi indikator ekonomi bulanan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia, yang mengukur output sebenar dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik mencatatkan peningkatan 0.6% tahun ke tahun pada Nov 2023.

Peningkatan marginal ini disokong oleh kenaikan dalam sektor perlombongan sebanyak 1.9%, dan sektor elektrik pada 4.2%.

“Bagaimanapun, sektor pembuatan mengalami penyusutan dengan mencatatkan negatif 0.1% selepas dua bulan berturut-turut merekodkan pertumbuhan positif,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 1/2024.

Dari segi nilai jualan, Uzir berkata jualan sektor pembuatan turun 2.6% tahun ke tahun pada Nov 2023 kepada RM155 bilion, terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 10.8%; dan subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang merosot 5.3%.

Dalam sektor perdagangan borong dan runcit, nilai jualan Nov 2023 merekodkan RM142.6 bilion, meningkat 6.2% tahun ke tahun.

Beliau berkata pertumbuhan kukuh tersebut didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong, yang meningkat 6.2% atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion.

“Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor dengan masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4% (+RM2.6 bilion) dan 12.7% (+RM2.0 bilion),” katanya.

Sementara itu, kadar inflasi kekal pada 1.5% pada Dis 2023.

Dari segi perdagangan, jumlah dagangan Malaysia menyusut 2.4% daripada RM237.6 bilion pada Nov 2022 kepada RM231.8 bilion.

Eksport turun 5.9% kepada RM122.1 bilion, manakala import meningkat 1.7% kepada RM109.7 bilion, iaitu peningkatan tahunan untuk pertama kalinya sejak Feb 2023.

Imbangan dagangan kekal dalam lebihan sebanyak RM12.4 bilion, menyusut 43.1% berbanding tahun sebelumnya.

Pada Dis 2023, jumlah dagangan adalah RM225.1 bilion, dengan eksport berjumlah RM118.5 bilion dan import merekodkan RM106.7 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.