Bekas presiden kelab basikal bebas tuduhan pecah amanah RM80,000

Bekas presiden kelab basikal bebas tuduhan pecah amanah RM80,000

Hakim Zaman Mohd Noor memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah Sesyen Kota Bharu melepas dan membebaskan bekas presiden Kelab Berbasikal Darul Naim, Mohammad Yusri Ismail atas tuduhan pecah amanah dan salah guna wang bantuan pembangunan sukan RM80,000. (Gambar fail)

KOTA BHARU:Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan bekas presiden Kelab Berbasikal Darul Naim (DCC) daripada dua pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan pembangunan sukan berbasikal berjumlah RM80,000.

Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap Mohammad Yusri Ismail, 48, pada akhir kes pendakwaan, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Pendakwaan tidak dapat membuktikan tertuduh adalah presiden yang sah dalam kelab berkenaan, (oleh itu) mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan utama, Yusri didakwa sebagai presiden kelab itu melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta iaitu wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 bagi kegunaan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh pada Mac 2017 dan dituduh di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pindaan utama yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan pilihan, Yusri didakwa menyalahgunakan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 untuk kegunaan sendiri di tempat dan masa sama.

Dia dituduh bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.