Bekas pengerusi koperasi dituduh rasuah, pindah wang haram

Bekas pengerusi koperasi dituduh rasuah, pindah wang haram

Bekas pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar.

Tertuduh Mazlan Hashim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tiga pertuduhan rasuah dan pemindahan wang hasil aktiviti haram. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah dan pemindahan wang hasil aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit pada 2016 dan 2017.

Bagaimanapun, tertuduh, Mazlan Hashim, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, menurut Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta suapan 10% daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta dari pengarah sebuah syarikat.

Wang rasuah RM970,000 itu diminta dipercayai sebagai dorongan membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender cadangan merekabentuk, membekal, membina, menguji terima dan mentauliah 1MWp Solar Farm & Green House yang beroperasi di Mukim Padang Kerbau, Pendang dari Myangkasa Services Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Sosenati, Alor Setar, pada November 2016.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah menerima suapan RM274,608 daripada pengarah syarikat sama melalui akaun Affin Islamic Bank milik koperasi itu, sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2017 di Affin Islamic Bank Berhad, Alor Setar.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM265,000 dari akaun koperasi berkenaan ke akaun Affin Islamic Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan Maziah Mohaidee mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zaharudeen Harun.

Terdahulu, Farah Ezlin memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah kemudian memaklumkan, Mahkamah Sesyen Shah Alam sudah menetapkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bersama seorang penjamin warga Malaysia selain perlu menyerahkan pasport dan dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada hari pertama bekerja setiap bulan.

Berikutan itu, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin dan syarat sama digunakan dalam pertuduhan hari ini dan semua kes tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas tidak mendapat bantahan peguam tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.