JPN Melaka akan keluar surat arahan panduan anjur graduasi pelajar

JPN Melaka akan keluar surat arahan panduan anjur graduasi pelajar

Exco negeri Rahmad Mariman berkata, ini bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan penganjuran majlis graduasi di lokasi mewah.

Exco Pendidikan Melaka Rahmad Mariman berkata, majlis graduasi pelajar tidak digalakkan dianjurkan di hotel kerana ia membebankan ibu bapa.
ALOR GAJAH:
Jabatan Pendidikan Melaka akan mengeluarkan satu surat arahan mengenai panduan penganjuran majlis graduasi pelajar pada peringkat sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rahmad Mariman berkata, ini sebagai langkah mengelakkan ibu bapa terbeban dengan penganjuran majlis tersebut.

“Saya akui majlis seperti ini (yang dianjurkan) di hotel seolah-olah menjadi trend pada masa kini terutama di sekolah rendah dan terdapat maklum balas daripada ibu bapa menyatakan ia agak membebankan.

“Kami tidak halang namun bagi pihak saya, perkara ini tidak digalakkan kerana majlis tersebut boleh saja dilakukan dalam keadaan sederhana,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni pelajar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Rahmat, Kuala Sungai Baru hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas rungutan ibu bapa mengenai penganjuran majlis graduasi murid oleh pihak sekolah di hotel, yang dianggap membebankan.

Terdahulu, seramai 12,900 pelajar menduduki peperiksaan SPM di 103 pusat peperiksaan di seluruh Melaka.

Turut menduduki peperiksaan tersebut termasuk 65 calon berkeperluan khas seperti masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan autisme, manakala empat calon di hospital kerana masalah kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.