Tahanan lolos dari mahkamah ditahan semula

Tahanan lolos dari mahkamah ditahan semula

Polis berkata, kejadian berlaku pada 10.35 pagi Ahad semasa proses keluar masuk tahanan dalam lokap mahkamah.

Polis menahan lelaki itu di rumah ibu saudaranya di Kampung Kubang Badak yang jaraknya kira-kira 5km dari kompleks mahkamah Pasir Mas.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang lolos ketika dalam tahanan lokap mahkamah Pasir Mas pagi semalam, ditahan semula kira-kira empat jam kemudian.

Ketua Polis Pasir Mas, Kama Azural Mohamed berkata, lelaki itu ditahan di rumah ibu saudaranya di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, yang jaraknya kira-kira 5km dari kompleks mahkamah berkenaan pada 2.30 petang Ahad.

“Tangkapan dibuat pegawai risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Pasir Mas serta anggota Task Force Balai Pasir Mas.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek,” katanya menurut Bernama malam tadi.

Beliau berkata, anggota Gerakan IPD Pasir Mas menerima panggilan pada 10.45 pagi Ahad memaklumkan seorang tahanan melarikan diri.

“Kejadian berlaku pada 10.35 pagi, iaitu semasa proses keluar masuk OKT (orang kena tahan) ke dalam lokap mahkamah.

“OKT yang dalam keadaan tidak bergari, keluar dari sel lokap Mahkamah Majistret dan terus berlari menuju pintu depan pagar mahkamah Pasir Mas sebelum menghilangkan diri dekat Rumah Dodol Pasir Mas.”

Susulan itu, Op Tutup dijalankan dengan 11 sekatan jalan dibuka sepenuhnya pada 11.30 pagi melibatkan semua anggota balai dan bahagian.

Berdasarkan rekod, katanya, OKT ditahan pada 25 Jan lalu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil semakan mendapati dia turut dikehendaki bersabit kes Seksyen 39C(1) akta sama.

Menurutnya, lelaki itu dibawa ke mahkamah Pasir Mas semalam untuk proses pertuduhan di bawah Seksyen 39C(1) akta sama, tetapi semasa dalam tahanan lokap mahkamah, dia melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.