Representasi pemimpin Muda batal tuduhan anjur protes LCS ditolak

Representasi pemimpin Muda batal tuduhan anjur protes LCS ditolak

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi turut mempersoalkan tiga kes dengan pertuduhan sama yang dilepaskan.

Pada 8 Februari lalu, Amir Abd Hadi telah memfailkan permohonan supaya pertuduhan berhubung perhimpunan “Mana Kapal Tempur Pesisir yang dihadapinya, dibatalkan.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi bagi membatalkan pertuduhan berhubung perhimpunan “Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)” yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan Amir menerusi hantaran di platform X hari ini.

“Timbalan pendakwa raya baru maklumkan mahkamah, representasi untuk gugur kes saya berkaitan himpunan “Mana Kapal LCS” ditolak AGC.

“Pada April 2023, tiga kes dengan pertuduhan sama di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dilepas. Apa bezanya? Mereka dalam kerajaan? Kalau ini bukan pendakwaan terpilih, ini apa?” soal Amir.

Pada 8 Februari lalu, Amir telah memfailkan permohonan supaya pertuduhan berkenaan dibatalkan kerana berpendirian bahawa ia adalah defektif, menurut peguam bela Raj Surian Pillai.

Beliau pada Ogos 2022 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal memberitahu pihak polis berhubung perhimpunan LCS.

Perhimpunan pada 14 Ogos itu menyaksikan seramai kira-kira 200 orang berkumpul dan mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) serta meminta bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana gagal mengambil tanggungjawab ke atas projek bermasalah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.