Pendeposit TH berpeluang menang pakej umrah, wang tunai

Pendeposit TH berpeluang menang pakej umrah, wang tunai

TH memaklumkan pendeposit berpeluang menjadi pemenang menerusi program Al-Falah, Carum dan Simpan, Bijaknya Menabung, 'Terpaling' Sayang dan Auto Simpan@THiJARI.

Tabung Haji berkata pemenang akan dipilih melalui empat siri cabutan sukuan dan dua siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah RM300,000.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah pakej umrah dan wang tunai untuk pendepositnya menerusi lima program menarik dianjurkan sepanjang 2024.

Dalam kenyataan, TH memaklumkan pendeposit berpeluang menjadi pemenang bertuah menerusi program Al-Falah, Carum dan Simpan, Bijaknya Menabung, “Terpaling” Sayang dan Auto Simpan@THiJARI.

“Bagi program Al-Falah, Bijaknya Menabung serta Carum dan Simpan, pendeposit hanya perlu menambah simpanan dalam akaun TH tanpa melakukan transaksi pengeluaran untuk penyertaan. Program Al-Falah terbuka kepada semua pendeposit berumur 18 tahun ke atas dengan tambahan simpanan serendah RM100,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemenang program berkenaan akan dipilih melalui empat siri cabutan sukuan dan dua siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM300,000.

Dalam pada itu, bagi mereka bekerja dalam sektor awam dan swasta yang mencarum serendah RM100 sebulan juga berpeluang menyertai program Carum dan Simpan dengan hadiah berupa pakej umrah dan pelbagai hadiah lumayan, selain dua siri cabutan akan dilaksanakan untuk mencari pemenang utama mengikut kategori masing-masing.

Selain itu, program Bijaknya Menabung turut dilaksanakan TH bagi meningkatkan kesedaran tabungan haji dalam kalangan ibu bapa buat anak mereka yang berumur 17 tahun ke bawah dengan tawaran pelbagai hadiah istimewa.

“Program ‘Terpaling’ Sayang akan memilih pemenang bertuah setiap sukuan daripada kalangan pendeposit yang mendaftar TH Khairat, manakala program Auto Simpan@THiJARI pula terbuka kepada semua pendeposit yang membuat transaksi pindahan simpanan ke akaun TH secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, TH turut memaklumkan pihaknya akan meneruskan program Kelab TaHa dengan pelbagai aktiviti disediakan kepada pelajar sekolah antaranya pertandingan Musabaqah Kelab TaHa dan kejohanan Futsal TaHa Bestari yang menawarkan hadiah lumayan RM1,000 kepada johan bagi setiap pertandingan.

“Perkara ini merupakan usaha TH untuk mendekati generasi muda menerusi aktiviti yang memberi manfaat serta membentuk modal insan yang cemerlang secara holistik,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu TH akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendepositnya dengan penganjuran pelbagai program serta aktiviti sepanjang tahun bagi menghargai pendeposit yang terus setia menyimpan tabungan mereka untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.