Wan Saiful pertahan kemudi PN di tangan Muhyiddin

Wan Saiful pertahan kemudi PN di tangan Muhyiddin

Wan Saiful Wan Jan berkata kepimpinan Muhyiddin Yassin berjaya satukan semua pihak.

Wan Saiful Wan Jan berkata kepimpinan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi perlu untuk pastikan PN mampu gerak ke depan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Wan Saiful Wan Jan mempertahankan kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional, dengan berkata bekas perdana menteri itu dipilih kerana kemampuan menyatukan semua parti komponen.

Ahli majlis pimpinan tinggi Bersatu itu berkata Muhyiddin memegang kemudi PN bukan untuk Bersatu tetapi bagi semua parti komponen, seperti yang diputuskan dalam perbincangan peringkat gabungan.

“Keputusan sekarang Muhyiddin pimpin. Bukan Bersatu. Muhyiddin jadi pengerusi. Kepimpinan secara bersama,” katanya ketika ditemui selepas forum pembangunan ekonomi Bumiputera di Anjung Melayu.

Wan Saiful menegaskan bahawa PN tidak peruntukkan jawatan pengerusi semata-mata untuk Muhyiddin.

“Cuma sekarang ini bagi saya dari Bersatu, kepimpinan Muhyiddin berjaya satukan semua pihak dan kepimpinan itu diperlukan untuk memastikan PN mampu bergerak ke depan,” katanya.

Wan Saiful mengulas ‘syor’ veteran Umno, Shahrir Samad, agar PAS mengambil alih kepimpinan PN ekoran dakwanya kekecohan dalam gabungan itu, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shahrir mengesyorkan PAS ambil alih kepimpinan PN sambil memetik individu bergelar “Sam”, yang dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar yang diuar-uarkan sebagai calon perdana menteri PN menuju PRK Kemaman Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.