
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, “langkah perhubungan awam” PAS terkini itu hanya akan meyakinkan sebilangan kecil orang bukan Islam yang masih berharap parti tersebut “menjadi sederhana” apabila berada dalam kerajaan.
“Dari segi mendapatkan sokongan baharu, jawapannya tidak. Ia tidak akan berjaya kerana setiap kali mereka cuba melakukan perkara seperti ini, beberapa bulan atau beberapa minggu kemudian ketua parti Abdul Hadi Awang akan berkata sesuatu yang sangat tidak baik mengenai orang Cina dan India. Semua ini tidak memberi apa-apa makna,” katanya kepada FMT.
Antara kenyataan kontroversi Hadi ialah melabelkan orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Bulan lalu, PAS menyampaikan ucapan Krismas kepada semua penganut Kristian yang menyambut perayaan itu.
Pada 2018, PAS dikritik selepas salah seorang pemimpinnya memberitahu umat Islam supaya menjauhi perayaan Krismas dan mengelak daripada menyampaikan ucapan perayaan itu kepada penganut Kristian.
Pada 24 Jan lalu, PAS mengeluarkan kenyataan kepada penganut Hindu sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada Khamis.
Chin mengaitkan perubahan parti itu selaras dapatan keputusan analisis dalaman, Perikatan Nasional (PN) akan memenangi PRU15 dan enam PRN berikutnya jika tidak kerana ketidakmampuannya menarik undi bukan Islam.
“Mereka dapat undi orang Islam untuk pilihan raya umum akan datang, (atau) sekurang-kurangnya itulah yang mereka harap. Satu-satunya perkara menghalang mereka daripada menang secara langsung dengan Bersatu ialah undi bukan Islam,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Chin Yee Mun dari Pusat Kajian Sosial dan Dasar Tan Cheng Lock di Universiti Tunku Abdul Rahman, berkata PAS tidak dapat menghindari imej garis kerasnya walaupun usahanya baru-baru ini.
Ditanya sama ada pertukaran kepimpinan membolehkan PAS menarik undi bukan Melayu dan bukan Islam, Yee Mun berkata parti itu mesti pergi lebih jauh dan menunjukkan kesederhanaan.
“Contoh PAS yang sederhana ketika parti itu dipimpin mursyidul am, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Masa dia (itu) kita nampak orang bukan Melayu sokong PAS,” katanya.
Beliau berkata, orang bukan Melayu ketika itu tidak mempunyai masalah menyokong PAS kerana parti tersebut bersifat akomodatif, bertolak ansur dan mempunyai visi inklusif yang mengambil kira keperluan masyarakat.
Yee Mun berkata, PAS mesti menonjolkan dirinya sebagai parti progresif dengan memperjuangkan isu kos sara hidup. “Jika mereka mampu menghasilkan pelan yang boleh dilaksanakan untuk memacu ekonomi kita, orang bukan Melayu akan melihat parti ini dengan lebih positif malah mungkin menyokongnya jika bekerjasama dengan parti politik lain yang disukai mereka.
“Tetapi semua ini memerlukan PAS melakukan perubahan drastik terhadap pendirian politik semasa, yang agak sukar,” katanya.