
Ketua Polis Nilai Abdul Malik Hasim, berkata berdasarkan laporan lelaki berusia awal 60an itu semalam, mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram oleh seorang individu dan terpengaruh untuk menyertai pelaburan mata wang digital kripto menerusi platform ACCERX Hong Kong, pada Oktober lalu.
“Pada permulaan, mangsa membuat transaksi pertama berjumlah RM8,000 dan berjaya mendapat keuntungan pelaburan sebanyak RM15,000 yang dimasukkan ke dalam akaun di platform berkenaan.
“Lelaki itu kemudian dipujuk oleh individu itu untuk menambah nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM228,000 melalui 13 transaksi kewangan ke sembilan akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran bagi pelaburan yang dibuat atas alasan akaun pengadu terlibat dengan pengubahan wang haram.
Malik berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan suspek terlibat.