
Presidennya Chiah Hock Yew menafikan ahli persatuannya berdepan kekurangan tenaga kerja, susulan dakwaan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan.
Beliau mengakui masalah itu wujud ketika PKP susulan wabak Covid-19, apabila ramai pekerja asing mahir dalam bidang berkenaan pulang ke negara asal apabila kerajaan melonggarkan perjalanan antarabangsa.
“Selepas PKP permintaan terhadap barang kemas meningkat mendadak namun akibat kekurangan pekerja…kerja tidak dapat diteruskan.
“Namun kini masalah itu telah berkurangan dan tiada lagi aduan,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Chiah berkata mungkin ada peniaga kedai emas memerlukan pekerja asing untuk membaiki barang kemas, namun pihaknya tiada maklumat berkaitan.
“Mengenai isu pengambilan pekerja asing, ia bergantung kepada syarikat memohon. Pada masa ini, tiada aduan diterima ahli.”
Minggu lalu, Ramanan berkata kedai gunting rambut dan pembuat barang kemas di negara ini antara sektor mengalami kekurangan pekerja, dengan pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata menerusi semakan dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mendapati masih ada 5,000 daripada 7,500 kuota bagi pengambilan pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.
Pada September lalu, Jemaah Menteri bersetuju membuka 7,500 kuota susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan berkenaan yang dibekukan sejak 2009.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemilik Gaya Rambut Salun India Malaysia M Meenaq Kumar pula mengakui ahlinya berdepan kekurangan pekerja dan meminta KSM melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing.
Menurutnya, ketika ini mereka berdepan pelbagai syarat seperti berkaitan tempat tinggal pekerja yang ada diantaranya persediaan perlu dibuat lebih awal tetapi tiada masa tetap berkaitan kelulusan.
“Belanja beribu-ribu tetapi belum tahu lagi bila dapat kelulusan dan ambil masa enam bulan untuk membawa masuk pekerja masuk…kami perlu bayar rumah sewa walaupun belum didiami pekerja.
“Lebih malang kami diberitahu jumlah kuota kami mohon tidak diluluskan, contohnya hanya dapat satu daripada lima dipohon sedangkan telah belanja untuk jumlah penuh,” katanya.