Ramanan kecam cubaan ‘tak bertanggungjawab’ kait beliau dengan dakwaan Victor Chin

Ramanan kecam cubaan ‘tak bertanggungjawab’ kait beliau dengan dakwaan Victor Chin

Naib presiden PKR itu berkata beliau tidak pernah bertemu ahli perniagaan berkenaan.

RAMANAN RAMAKRISHNAN
R Ramanan berkata dakwaan Victor Chin diihat sebagai cubaan sengaja untuk mencemar nama baik PKR, Ahli Parlimennya dan kerajaan.
SUNGAI BULOH:
Naib Presiden PKR R Ramanan mengecam cubaan ‘tidak bertanggungjawab’ pihak tertentu untuk mengaitkan beliau terhadap dakwaan ahli perniagaan Victor Chin dengan sindiket pengambilalihan paksa syarikat menerusi pakatan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya.

Ramanan berkata dakwaan Chin yang membabitkan beberapa individu itu disifatkan usaha sengaja untuk mencemarkan imej PKR, Ahli Parlimennya serta kerajaan.

“Saya tidak pernah bertemu dengannya (Chin), saya tidak mengenalinya dan tidak pernah bercakap dengannya.

“Bagaimana saya boleh menerima RM9.5 juta daripada seseorang yang saya tidak pernah jumpa?” katanya pada sidang media.

Beliau itu turut mencabar Chin supaya mendedahkan identiti ‘Mr R’, yang didakwa sebagai orang tengah kepada sindiket korporat berkenaan.

“Hanya Chin boleh jawab siapa ‘Mr R’ itu. Tetapi saya sedar ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya.

“Kononnya berjuta-juta saham dipindahkan kepada saya. Hakikatnya, saya tidak memiliki sebarang saham awam — sifar,” katanya.

Semalam, dalam dokumen setebal 40 muka surat, Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan meminta RM10 juta secara tunai untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dengan sindiket korporat tersebut.

Chin turut mendakwa seorang individu dikenali sebagai ‘Mr R’ bertindak bersama sindiket itu untuk menguasai NexG Bhd dan pegangan saham berkaitan melalui pemaksaan serta sekatan terhadap hak pemegang saham.

Ramanan berkata beliau telah mengarahkan ketua ranting PKR di Sungai Buloh supaya membuat laporan polis.

“Chin sebelum ini kata polis memburunya, kemudian Bank Negara Malaysia (BNM) dan kini mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR pula terlibat.

“Setiap hari ceritanya berbeza,” katanya.

Beliau berkata penjelasan itu dibuat bagi menghalang sebarang usaha mencemarkan imej serta memecahbelahkan PKR.

“Sebagai naib presiden parti, saya perlu bersuara untuk menghalang mana-mana pihak daripada memecahbelahkan parti,” katanya.

Ramanan turut mengkritik bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli kerana membesarkan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai ‘menteri yang gagal’.

“Saya cabar sesiapa pun untuk menamakan saya atau suruh Rafizi menamakan saya,” katanya.

“Rafizi mendakwa wujud isu, tetapi tiada nama diberikan oleh Chin. Adakah beliau mempunyai agenda untuk memecah-belahkan parti?”

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus membuat dakwaan tidak berasas terhadap kepimpinan parti.

Beliau berkata dakwaan sedemikian dibuat oleh mereka yang mempunyai ‘niat tersembunyi’.

“Mereka juga dibuat oleh individu yang terdesak untuk membersihkan diri daripada kesalahan mereka sendiri,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.