‘No fear, Sam is here’; Shahrir syor PAS ambil alih PN

‘No fear, Sam is here’; Shahrir syor PAS ambil alih PN

Shahrir Samad syor PAS ambil alih kepimpinan PN, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu sokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shahrir Samad menarik perhatian kepada Bersatu tidak dapat ambil sebarang tindakan terhadap wakil rakyatnya yang menyokong kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang veteran Umno mengesyorkan PAS ambil alih kepimpinan Perikatan Nasional ekoran dakwanya kekecohan dalam gabungan itu, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“No fear, Sam is here (jangan takut, Sam ada),” kata bekas menteri Shahrir Samad, dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar yang diuar-uarkan sebagai calon perdana menteri PN menuju PRK Kemaman Disember lalu.

Sambungnya di Facebook, Shahril menarik perhatian kepada Bersatu tidak dapat ambil sebarang tindakan terhadap wakil rakyatnya yang menyokong kerajaan.

“Patut pecat je yang 6 ini. Kenalah jaga maruah parti,” katanya.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kepentingan kawasan diwakili mereka.

Terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi, mengikut jejak Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Terdahulu, sumber rapat dengan seorang pemimpin Bersatu mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan menyokong perdana menteri melainkan pembangkang boleh buktikan mereka mampu menukar kerajaan dalam tempoh terdekat.

PN mendakwa ia boleh mengambil alih pentadbiran Putrajaya jika menang besar dalam pilihan raya enam negeri Ogos tahun lalu, serta pada PRK Kemaman Disember lepas.

Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu yang tidak dinamakan berkata keputusan beberapa Ahli Parlimen menyokong kerajaan mungkin berpunca daripada keputusan Muhyiddin Yassin mempertahankan jawatan presiden, pada November lepas.

“Takkanlah. Kecoh juga PN ni. Patutnya PAS pula yang ambil alih kepimpinan PN dan bukan Bersatu marah-marah sama sendiri termasuk libatkan isteri presiden,” katanya.

Pada November di Pehimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023, Muhyiddin mengumumkan beliau akan pertahankan jawatan presiden untuk sepenggal lagi, selepas pertunjukkan sokongan kepada dalam kalangan anggota majlis pimpinan tertinggi.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata beliau diyakinkan oleh isterinya untuk tidak mengecewakan ahli yang kelihatan memerlukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.