Malaysia mahu panda tinggal lebih lama

Malaysia mahu panda tinggal lebih lama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim optimis China akan pertimbang dan sokong permintaan melanjutkan tempoh pinjaman panda gergasi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kehadiran dua panda gergasi dinamakan Xing Xing dan Liang Liang menjadi tarikan pengunjung ke Zoo Negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan membuat permintaan kepada China untuk melanjutkan program perjanjian kerjasama konservasi antarabangsa panda gergasi yang akan tamat tahun ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan perjanjian asal, dua panda dinamakan Xing Xing dan Liang Liang itu akan berada di Malaysia hingga 20 Mei ini. Panda itu berada di Malaysia sejak 2014.

“Saya akan hubungi (Presiden China) Xi Jinping untuk melihat mekanisme yang boleh dilakukan untuk melanjutkan tempoh panda berkenaan tinggal di Malaysia.

“Berdasarkan hubungan hebat antara kedua-dua negara, saya optimistik China akan berikan pertimbangan dan sokongan kepada permintaan kita ini,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Jubli Intan Zoo Negara.

Anwar turut menolak pandangan beberapa pihak, kehadiran dua panda itu sebagai pembaziran dan patut dipulangkan ke negara asal.

Beliau menjelaskan, Malaysia tidak membayar harga panda berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan kos penjagaan haiwan itu sahaja.

“Ada orang cerdik pandai di Kuala Lumpur dia tak minat sebab dia boleh pergi ke China melihat panda tetapi apabila ditanya kepada orang ramai sebab berkunjung ke Zoo Negara adalah untuk melihat panda.

“Bagi rakyat kebanyakan, mereka merasakan ini sahaja peluang sekali dan seumur hidup melihat panda. Jadi saya lihat dari segi itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun penjagaan panda melibatkan kos besar tetapi kehadiran haiwan itu menyenangkan pengunjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.