Tak benar Daim pecat pasukan pembelaan, kata peguam

Tak benar Daim pecat pasukan pembelaan, kata peguam

Rajesh Nagarajan berkata hanya Yusof Zainal Abiden dan Alex Tan memilih menarik diri.

Seorang peguam mewakili Daim Zainuddin dan Naimah Khalid berkata pasukan dilantik masih kekal kecuali dua peguam sahaja tarik diri.
PETALING JAYA:
Seorang peguam dalam pasukan pembelaan Daim Zainuddin menolak dakwaan mereka digugurkan daripada mewakili bekas menteri kewangan itu dan isterinya, Naimah Khalid berkait kes rasuah.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, hanya dua peguam – Yusof Zainal Abiden dan Alex Tan – memilih menarik diri. Justeru, katanya pasukan peguam masih kekal.

“Peguam Kanan M Puravalen terus mengetuai pasukan. Laporan mendakwa Daim memecat pasukan guamannya tidak tepat,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, FMT melaporkan pasukan peguam mewakili Daim digugurkan susulan perbezaan pandangan berhubung pengendalian kes. Sumber berkata, Daim dan Naimah sedang mencari pasukan guaman baharu.

Sebelum ini, firma guaman Wong Kheong dilantik sebagai peguam cara dengan diketuai Yusof, yang juga bekas peguam cara negara. Peguam Puravalen, Yunos Shariff dan Tan juga sebahagian daripada pasukan itu.

Pada Selasa, Naimah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM yang mengkehendakinya mengisytihar aset. Beliau didakwa gagal mengisytihar pemilikan syarikat, beberapa plot tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan dua kenderaan.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000.

Awal bulan ini, Suruhanhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Naimah dan dua anak lelaki, Amir dan Amin, untuk menjelaskan maklumat aset milik keluarga mereka.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata “besar kemungkinan” Daim didakwa minggu depan selepas dibenarkan keluar hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.