
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau akan sentiasa menyembah maklum perkara-perkara melibatkan pembangunan negeri, termasuk projek berkaitan ekonomi dan infrastruktur kepada Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang, sama ada secara menghadap atau menerusi pesanan WhatsApp.
“Seri Paduka sering bertitah kepada saya supaya projek pembangunan di negeri disegerakan kerana jika lewat, kerugian adalah kepada rakyat,” katanya menerusi segmen “Jendela Fikir: Dirgahayu Tuanku” di Bernama Radio hari ini.
Wan Rosdy berkata, baginda juga sering menzahirkan hasrat agar pentadbiran negeri berjalan lancar dan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat.
Keprihatinan Sultan Abdullah telah membantu Pahang berada di landasan yang tepat ke arah negeri maju, kata Wan Rosdy yang memberikan contoh hasil negeri merekodkan lebih RM1 bilion dua tahun berturut-turut.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, bagi meraikan keberangkatan balik Sultan Abdullah ke Pahang Selasa ini, sambutan bermula dengan istiadat keberangkatan pulang beradat di Pangkalan Udara Tentera Udara di sini.
Perarakan Diraja itu seterusnya akan berlepas ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan rakyat Pahang boleh berkumpul di sepanjang laluan untuk menzahirkan rasa kasih kepada pasangan diraja itu.
Selain itu, majlis kesyukuran dan doa selamat akan diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Karnival Rakyat di Dataran Sayangi Kuantan selama tiga hari bermula 2 Feb ini yang antara lainnya melibatkan perarakan kenderaan berhias, wayang pacak dan festival makanan Pahang.
Berkongsi sisi santai Sultan Abdullah, Wan Rosdy berkata, baginda gemar mendengar lagu dan ada masanya turut menyanyi semasa beliau menaiki kenderaan.
“Antara lagunya ialah Gadis Melayu (nyanyian Jamal Abdillah) dan Kisah Seorang Biduan (Dahlan Zainuddin). Jika makanan kegemaran (pula), sudah tentu tempoyak dan ikan patin,” katanya.
Program Jendela Fikir Edisi khas dijadual bersiaran bermula 23 hingga 29 Jan sebagai penghormatan kepada Sultan Abdullah yang akan menamatkan penggal sebagai Agong ke-16 pada 30 Jan ini.