2 rakyat Malaysia mohon maaf peranan dalam pengeboman Bali

2 rakyat Malaysia mohon maaf peranan dalam pengeboman Bali

Farik Amin dan Nasir Lep memohon maaf kepada 11 ahli keluarga mangsa yang hadir di mahkamah tentera Teluk Guantanamo.

Nazir Lep (kiri) dan Farik Amin berkata, mereka kini insan lebih baik berbanding 20 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Dua rakyat Malaysia yang mengaku bersalah minggu lalu atas peranan mereka dalam pengeboman Bali pada 2002, memohon maaf atas tindakan mereka dan memberi jaminan sudah berubah dengan ketara selepas dikurung bersendirian selama 20 tahun.

Farik Amin, 48, dan Nazir Lep, 47, berkata mereka bertanggungjawab atas tindakan sendiri dan menyedari mereka salah, menurut peguam, Brian Bouffard yang mewakili Nazir.

Katanya, mereka memohon maaf kepada 11 ahli keluarga mangsa hadir di mahkamah tentera Teluk Guantanamo, Cuba yang menceritakan kisah mereka selepas kehilangan orang tersayang dalam pengeboman meragut 202 nyawa itu.

Farik yang memberi keterangan semalam (waktu Malaysia), berkata dia kesal dan bertanggungjawab atas tindakannya tanpa perlu memberi sebarang alasan.

“Saya bukan anak muda yang panas baran lagi,” katanya kepada mahkamah tentera berdasarkan nota perbicaraan dilihat FMT.

Menurutnya, beliau ke Afghanistan sebelum pengeboman Bali kerana prihatin dengan penderitaan umat Islam di seluruh dunia.

“Saya mahu mempertahankan kepercayaan saya. Saya kini insan lebih baik. Saya serah kepada anda untuk menentukan nasib saya,” katanya pada akhir keterangannya.

Nazir berkata, dia bersalah atas peranannya dalam pengeboman Bali dan memohon maaf terhadap tindakannya.

“Saya nak minta maaf. Saya di sini untuk bekerjasama. Tindakan saya salah dan saya akan hidup dengan apa yang saya lakukan selama-lamanya.

“Saya kini insan lebih baik berbanding 20 tahun lalu. Saya belajar daripada kesilapan saya,” katanya sambil menambah dia masih muda, tidak matang dan degil ketika serangan itu berlaku dan hanya memahami situasi sepenuhnya apabila matang serta semakin berusia.

Walaupun kedua-duanya memberitahu mahkamah mereka diseksa selepas ditahan di Thailand pada 2003, tetapi Nazir berkata, beliau memaafkan pegawai CIA yang melakukan perkara itu kepadanya.

Susulan penahanan mereka pada 2003, kedua-duanya dibawa ke lokasi tersembunyi CIA, di mana mereka kekal dalam tahanan sehingga dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Abang beri keterangan

Terdahulu, abang Farik, Fadil dan Faizal memberi keterangan bagi menyokong adik mereka sebagai sebahagian daripada perjanjian prabicara.

Fadil, anak sulung daripada 10 beradik itu, mengaku ini kali pertama beliau mendengar kisah ahli keluarga mangsa yang sangat menyedihkan dan menyakitkan.

“Saya harap dapat memeluk semua orang,” katanya dalam bahasa Inggeris.

Graduan jurusan seni bina di England itu berkata, ibunya mengajar mereka untuk taat kepada agama, memastikan mereka solat, jujur dan membesar menjadi insan baik.

Beliau berkata, ibu bapanya sentiasa memberitahu negara Barat adalah sumber peluang.

Faizal, anak kelima dalam keluarganya berkata, beliau rapat dengan Farik semasa kecil.

“Kami membesar bersama. Adik saya paling alim daripada 10 beradik. Saya gembira Farik bertanggungjawab atas tindakannya.”

Minggu lalu, Farik dan Nazir mengaku bersalah atas pembunuhan, konspirasi dan tiga pertuduhan lain berkaitan pengeboman itu. Hakim Wesley Braun memberitahu mereka berdepan hukuman penjara 20 hingga 25 tahun mengikut perjanjian prabicara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.