
Pemain tengah, Jeong Woo-yeong, membuka tirai jaringan di separuh masa pertama sebelum Malaysia bangkit mendahului perlawanan selepas 17 minit separuh masa kedua bersambung, menerusi gol Mohamad Faisal Abdul Halim dan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi.
Namun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika berbaki 10 minit masa permainan sebenar hasil gol sendiri penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, sebelum mendahului 3-2 menerusi penalti pemain bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, pada masa tambahan.
Pemain gantian Romel Morales menyumbat gol ketiga pasukan negara pada masa tambahan yang memasuki 15 minit, untuk menghadiahkan satu mata kepada Malaysia pada kempen kali ini.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan kekal di posisi kedua Kumpulan E dengan mengumpul lima mata, sementara Malaysia membawa satu mata dan boleh berbangga dengan tiga gol yang dihasilkan menentang antara gergasi Asia itu.
Juara kumpulan menjadi milik Bahrain yang menewaskan Jordan 1-0 untuk mengumpul enam mata, namun kekalahan itu tidak menghalang Jordan yang mengumpul empat mata untuk tetap layak sebagai antara empat pasukan di kedudukan ketiga terbaik.
Pada perlawanan itu, Korea Selatan memberi amaran awal apabila Son, kapten pasukan membuat larian deras ke dalam kotak penalti dan menggelecek dua pemain sebelum melepaskan rembatan kencang, namun berjaya dikeluarkan Ahmad Syihan ada minit ke-15.
Skuad bimbingan Jurgen Klinsmann akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas Jeong Woo-yeong menanduk masuk sepakan penjuru yang terdahulu seakan diselamatkan Ahmad Syihan, namun bola telah pun melintasi garisan gol di penjuru kanan gawang sebelum disahkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Malaysia yang tewas dalam dua aksi sebelum ini bermula baik di separuh masa kedua dan hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Faisal, susulan kegagalan Arif Aiman menyudahkan peluang selepas tekanan yang dibuat Darren Lok di kawan kubu pertahanan lawan.
Suasana di stadium menjadi kecoh apabila VAR memutuskan untuk memberikan penalti kepada Malaysia selepas Arif Aiman dijatuhkan Seol Young-woo, sebelum pemain berusia 22 tahun itu meledak jaringan yang gagal diselamatkan Jo Hyeon-woo pada minit ke-62.
Di sebalik serangan bertali arus dilancarkan dengan penguasaan bola 86-14 peratus berpihak Korea Selatan, mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan selepas Ahmad Syihan tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan sepakan percuma Lee Kang-in pada minit ke-83.
Masa tambahan yang berpanjangan sehingga 15 minit menyaksikan dua lagi gol terhasil apabila Son menyempurnakan penalti selepas Oh Hyeon-Gyu dijatuhkan pemain pertahanan Junior Eldstal, sebelum Morales yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul pemusnah hasrat Korea Selatan mengutip tiga mata di penghujung permainan.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989.