
Gillian Donald, 41, menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas selepas terhidu asap berlebihan dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.
Berkongsi kisah Gilian membantu rakan sekolahnya itu, sepupunya dikenali S N Sherafie Izuan berkata walaupun Allahyarham semasa kecil fobia dan pitam sekiranya melihat darah namun ia tidak menghalang membantu mangsa kemalangan.
“Walaupun semasa kecil beliau fobia dan hampir pitam dengan darah, tetapi pernah bertungkus lumus menyelamatkan rakan-rakan sekolah terlibat dalam kemalangan bas berhadapan rumah arwah datuk kami di kampung.
“Hari ini (semalam) beliau dikhabarkan meninggal dunia ketika bersama-sama jiran cuba menyelamatkan mangsa kebakaran berdekatan rumahnya, satu kisah wira yang harus diingati selamanya,” katanya di Facebook.
Sherafie turut memaklumkan jenazah Gillian telah dikebumikan di Likas, Kota Kinabalu.
Semalam, media melaporkan keberanian Gillian meredah api untuk menyelamatkan tujuh sekeluarga yang juga jirannya selepas mereka terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Merinding Garden.
Kisah itu mendapat perhatian masyarakat yang terharu dengan pengorbanan mulianya dan dianggap sebagai wira.