Libat urus sebelum tetap caruman KWSP mandatori, kata Cuepacs

Libat urus sebelum tetap caruman KWSP mandatori, kata Cuepacs

Caruman KWSP dilihat tidak akan membantu penjawat awam mempunyai simpanan yang baik selepas persaraan, kerana skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini.

Cuepacs berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan, kata Presiden Adnan Mat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sewajarnya mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum menetapkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori bagi lantikan tetap baharu, kata Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Adnan Mat berkata skim caruman KWSP dilihat tidak akan membantu penjawat awam mempunyai simpanan yang baik selepas persaraan, kerana skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini.

“Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

“Kerajaan harus memastikan gaji yang diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, di mana kumpulan penjawat awam itu akan mencarum dengan KWSP.

Ketika ini penjawat awam dibenarkan memilih skim berpencen ataupun caruman KWSP.

Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, Adnan berkata kebanyakan memilih skim berpencen kerana ianya dianggap sebagai lebih baik dan menjamin.

“Cuepacs berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan,” katanya.

Kaji juga pencen ahli politik

Semalam, Zahid berkata jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan berjumlah RM120 bilion pada 2040, jika tidak ada sistem baharu.

Cuepacs berpandangan jika kekangan kewangan menghalang skim pencen perkhidmatan awam diteruskan, kerajaan perlu kaji pemberian pencen kepada ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat dan dilantik ke jawatan eksekutif.

“Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu merupakan langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar 5 tahun sahaja.

“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya kerajaan ingin menamatkan skim pencen, ianya hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.