Kuil dilanda banjir kilat, 17 sedang buat persiapan Thaipusam diselamat bomba

Kuil dilanda banjir kilat, 17 sedang buat persiapan Thaipusam diselamat bomba

Mangsa terperangkap di sebuah kuil di Kampung Kangkar Tebrau Kiri, Johor Bahru, terdiri daripada 16 orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

Hujan lebat sepanjang hari menyebabkan air naik sehingga mangsa-mangsa terperangkap di dalam kuil sebelum diselamatkan oleh bomba. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seramai 17 penganut Hindu yang sedang membuat persiapan sambutan Thaipusam di sebuah kuil di Kampung Kangkar Tebrau Kiri di sini diselamatkan anggota bomba selepas kuil berkenaan dilanda banjir kilat malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Pegawai Bomba Kanan I Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.13 malam sebelum lapan anggota dan jentera digerakkan ke Kuil Sri Muniswarar Maha Mariamman.

“Semalam, hujan lebat sepanjang hari menyebabkan air naik hingga ke paras 3m sebelum pihak pengurusan kuil menghubungi bomba. Kawasan itu memang sering banjir khususnya ketika hujan berpanjangan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 17 mangsa terperangkap dalam kuil, dan anggota bomba memindahkan mereka ke tempat selamat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi menyelamatkan mangsa terperangkap, terdiri daripada lapan lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, tamat pada 11.53 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.