Zahid kata tiada kemelut, kuasa lantikan JPKK bawah KKDW

Zahid kata tiada kemelut, kuasa lantikan JPKK bawah KKDW

TPM yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata lantikan pengerusi JPKK di bawah bidang kuasa kementerian.

Zahid Hamidi berkata kuasa melantik pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Selangor bukan bidang kuasa kerajaan negeri. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menegaskan tidak timbul sebarang kemelut atau masalah berhubung pelantikan 373 jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Selangor.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata ini kerana kuasa melantik pengerusi JPKK adalah di bawah kuasa kementeriannya dan tidak melibatkan kerajaan negeri.

“Tidak ada kemelut (pelantikan JPKK).

“Ini tawaran daripada KKDW (Kementerian Desa dan Wilayah). Bukan kerajaan negeri. Satu berbeza sebelumnya,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Zahid berkata demikian mengulas perkembangan terkini pelantikan ahli JPKK di Selangor.

Ahad lalu, Umno Selangor mengumumkan keputusan menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Umno Selangor mahu sebanyak 373 jawatan pengerusi JPKK.

Ketuanya, Megat Zulkarnain Omardin, berkata keputusan itu membuktikan Umno Selangor tidak tamak jawatan sebagaimana dakwaan tersebar.

Dalam pada itu, Zahid berkata untuk kelancaran proses lantikan itu juga, Umno Selangor akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai lantikan berkenaan dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkara ini akan diselesaikan dalam masa singkat.

“Sebenarnya perbincangan diadakan oleh pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain dengan menteri besar Selangor (Amirudin Shari) sendiri. Saya juga adakan perbincangan dengan perdana menteri (Anwar Ibrahim)…perkara ini pasti akan dapat diselesaikan dengan waktu yang singkat mungkin,” katanya.

Lagi Ahli Parlimen Bersatu sokong PM

Dalam pada itu, Zahid berkata sokongan Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi kepada Anwar dilihat memperkukuhkan lagi kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, lebih ramai menyokong Anwar, perkara itu lebih baik.

“Kini kerajaan ada 153 dokongan Ahli Parlimen. Semakin banyak mendokong perdana menteri, semakin kuat kerajaan yang ada.

“Jumlah ada sekarang melebihi 2/3 adalah jumlah cukup baik dan jika ada usaha untuk mana-mana individu atau tokoh untuk masuk rumah politik melalui tingkap, saya fikir eloklah mereka dikeluarkan melalui tingkap itu juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.