
Ketua Polis KLIA Imran Abd Rahman berkata seorang lelaki 25 tahun yang dalam keadaan mencurigakan ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD KLIA di kawasan pelepasan Aras 3, klia2 kira-kira 5 pagi Ahad lalu.
Katanya pemeriksaan bagasinya menemui lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu kira-kira 8kg bernilai RM264,000 yang dibalut pakaian.
Beliau berkata hasil soal siasat mendapati suspek akan berlepas ke Bintulu, Sarawak pada 6.30 pagi hari sama.
“Suspek mendedahkan datang ke Kuala Lumpur bersama seorang rakan pada Sabtu lalu untuk mendapatkan bekalan dadah,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang akhbar di IPD KLIA hari ini.
Imran berkata tukang masak di sebuah hotel Sabah yang memiliki enam rekod jenayah itu mendakwa dibayar RM8,000 untuk satu trip membawa dadah.
Susulan itu, katanya maklumat lanjut disalurkan kepada BSJN IPD Miri menyebabkan rakan suspek yang juga lelaki tempatan ditahan.