
Fahmi berkata penghargaan itu disampaikan kepada Anwar semalam, semasa sesi menghadap untuk mesyuarat pra-Kabinet kali ke-160 dan yang terakhir, di Istana Negara, semalam, sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Agong pada 30 Jan ini.
“Jemaah Menteri ambil maklum sembah menghadap perdana menteri semalam, dengan Agong berkenan untuk sampaikan watikah kepada Jemaah Menteri dan telah dibacakan perdana menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Dalam titah yang disampaikan Agong kepada Jemaah Menteri, baginda mengingatkan agar kami sentiasa berkhidmat demi negara dan tidak memikirkan tentang kedudukan atau harta benda untuk tujuan peribadi,” katanya.
Fahmi berkata Agong turut berkenan berkongsi sepotong ayat hasil nukilan Imam Ghazali iaitu “sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya dan kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan kecintaan kepada harta dan kedudukan”.