Penganjur ‘Himpunan Selamatkan Rakyat’ akan dipanggil polis

Penganjur ‘Himpunan Selamatkan Rakyat’ akan dipanggil polis

Polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dianggarkan seramai 1,000 hadir ke perhimpunan di luar Istana Negara yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (Peta).
KUALA LUMPUR:
Polis akan merakam keterangan penganjur “Himpunan Selamatkan Rakyat” di pintu 2 Istana Negara pagi tadi atas kegagalan mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata penganjur perhimpunan itu sudah dikenal pasti dan akan dipanggil memberikan keterangan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan berkenaan yang berakhir pada pukul 11.30 pagi itu,” katanya kepada Bernama.

Dianggarkan seramai 1,000 orang hadir ke perhimpunan itu yang dianjurkan oleh sekretariat Pembela Tanah Air (Peta).

Turut hadir ke perhimpunan itu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Syed Hassan Syed Ali.

Syed Hassan dan Setiausaha Agung Peta Mohd Aswanizam Alias kemudian menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang diterima wakil Istana Negara, antaranya mengandungi keluh-kesah rakyat berhubung ekonomi negara.

Semalam, Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis berhubung penganjuran himpunan daripada penganjur.

Sementara itu, Amihizam dalam kenyataan hari ini memaklumkan kira-kira 700 penyokong sebuah parti politik, badan bukan kerajaan dan orang awam terlibat dalam perhimpunan di mana empat individu menyerahkan memorandum kepada ketua komunikasi korporat Istana Negara.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti empat individu yang memberi ucapan dalam perhimpunan itu, yang diadakan tanpa notis atau pemakluman bertulis kepada polis, namun tiada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat.

Amihizam turut menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi dan boleh menyalurkan maklumat kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03 22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.