Pegawai polis diambil keterangan berkait kes jatuh laut

Pegawai polis diambil keterangan berkait kes jatuh laut

Keterangan lelaki berusia 37 tahun itu direkod beberapa hari lalu yang ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang itu mendakwa ditolak rakan lelakinya yang juga inspektor polis.
GEORGE TOWN:
Polis merekodkan keterangan pegawainya yang terlibat dalam kejadian lelaki dan wanita terjatuh ke dalam laut di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai pada 15 Jan lalu bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Tan Cheng San, berkata pihaknya merekodkan keterangan lelaki berusia 37 tahun itu beberapa hari lalu yang ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

“Setakat ini, kami telah merekodkan keterangan pegawai polis itu dan 12 individu lagi antaranya wanita terbabit, doktor yang merawat serta beberapa saksi yang melihat kejadian itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, pegawai polis itu mengalami kecederaan di kepala dan patah bahu sebelah kiri.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang itu mendakwa ditolak rakan lelakinya yang juga pegawai polis berpangkat inspektor dan bertugas di Perak ketika mereka sedang bertengkar di hentian jambatan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, tindakan pantas seorang lelaki iaitu anggota tentera yang terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki dan wanita yang terjatuh ke dalam laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.