
Katanya, rakyat Malaysia di luar negara sekian lama merungut kekurangan langkah jelas dan maklumat terkini berhubung proses pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau memberi contoh pada PRU 2013, rakyat Malaysia dibenarkan membuang undi di kedutaan Malaysia, tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian pada PRU berikutnya.
Kok turut mendapati isu lain dihadapi pengundi luar negara, termasuk tempoh singkat buat SPR menghantar kertas undi kepada rakyat Malaysia untuk mengundi serta mengembalikan kertas undi.
Katanya, kos mengembalikan kertas undi dari Amerika Syarikat dan Eropah ke Malaysia mungkin mencecah RM376 hingga RM469 menggunakan khidmat kurier persendirian yang mengambil masa tiga hingga empat hari, manakala pos biasa memerlukan sehingga 21 hari.
Menurutnya, cadangan FTPA akan menghalang perdana menteri “tiba-tiba meletak jawatan atau membubarkan Parlimen” dan menyebabkan satu demi satu pilihan raya diadakan atas kehendak Ahli Parlimen serta parti politik.
Beliau memberi contoh perlembagaan Kenya yang mewajibkan PRU diadakan pada Selasa kedua Ogos setiap tahun kelima.
“Penggal tetap ini mengekalkan kuasa presiden (Kenya) dan kerajaan, pada masa sama menghalang salah perintah secara kekal,” katanya dalam kenyataan.
Jika berlaku peperangan, Kok berkata, pilihan raya akan ditangguhkan dengan usul undi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
SPR perlu bertanggungjawab terhadap proses penambahbaikan sistem pengundi luar negara, katanya sambil menekankan cadangan Bersih Global, termasuk rakyat Malaysia dibenarkan mendaftar pada bila-bila masa sebelum Parlimen dibubarkan.
Syor lain termasuk tempoh seminggu untuk mengesahkan pengundi pos di luar negara, SPR bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia mengenal pasti berapa lama diperlukan bagi kertas undi dihantar ke luar negara dan dikembalikan, memperluaskan undi pos kepada negeri Borneo, Singapura, Brunei, Kalimantan dan Selatan Thailand.
Bari-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mencadangkan rang undang-undang (RUU) khas dibentangkan di Dewan Rakyat bagi mengelakkan sebarang cubaan menggulingkan kerajaan.
Presiden Umno itu berkata, RUU itu penting bagi membolehkan kerajaan dipilih melalui pilihan raya dapat mentadbir negara tanpa diganggu gugat musuh politik.