
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan hasil serbuan di dua rumah di Taman Abad dan Taman Century, Johor Bahru, menerusi Op Mega Pintas antara 8 malam hingga 11.45 malam semalam.
Katanya, dua lelaki berusia 39 dan 79 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat sindiket pemerdagangan orang iaitu eksploitasi pengemis warga China di sekitar bandar raya itu.
“Kita berjaya menyelamatkan masing-masing dua lelaki dan wanita warga China berusia antara 36 hingga 61 tahun yang juga OKU fizikal dan lumpuh.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta dan wang tunai berjumlah RM15,094,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan itu berperanan sebagai “transporter” dan menyediakan tempat tinggal mangsa.
Katanya, setiap seorang mangsa yang dijadikan pengemis mampu mengutip sehingga RM500 sehari dan aktiviti itu dilakukan sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, dua suspek terbabit akan direman, manakala empat warga asing itu akan dipohon perintah perlindungan sementara.
“Kes disiasat bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
“Orang awam mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini, boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07 2212999 atau 07 2254677,” katanya.