
Tiada pengakuan direkodkan daripada Wang Cheng Wei, 41 dan ibunya Ah Yee Hwa, 62, serta Chan Siew Han, 60, dan pasangan suami isteri, Tay Khai Seng, 34, serta Yup Zun Jin, 28.
Pendakwaan dilakukan dalam prosiding di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, menurut Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah jenis MDMA seberat 16,473g di Taman Larkin Idaman, pada 5.30 pagi, 10 Jan.
Bagi pertuduhan kedua, kelima-limanya didakwa mengedar dadah jenis kanabis dengan berat 7,760g di tempat dan waktu sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, kelima-limanya tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) dan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Wang mengaku bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.77g, nimetazepam seberat 0.59g, dan kanabis 4.93g.
Bagi tiga pertuduhan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 ADB 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei, sementara pasangan suami isteri tersebut diwakili Jihad Syahida Nadia Zakaria serta Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.
Mahkamah menetapkan 23 April ini tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu keputusan laporan kimia dan tiada jaminan diberikan.
Pada 17 Jan, polis Johor menumpaskan pengedaran dadah didalangi dua beranak susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita dan anak lelakinya dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya itu serta Iskandar Puteri pada 10 hingga 14 Jan.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya berjaya membuat rampasan dadah RM1.23 juta dan polis turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi seperti pencetak, pengisar, pengimbang, loyang, dan penapis termasuk lima butir peluru bertulis “S3 9mm Luger” dan “A USA 380 Auto” disyaki peluru hidup.