Gaduh bersenjata, 2 lelaki ditahan di Shah Alam

Gaduh bersenjata, 2 lelaki ditahan di Shah Alam

Polis berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa menghalang salah seorang suspek meneruskan hubungan dengan kakak saudaranya.

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di Seksyen 28, Shah Alam, Ahad lalu.
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan dipercayai terbabit pergaduhan di Seksyen 28, Shah Alam, Ahad lalu.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dua suspek berusia 19 dan 25 tahun itu ditahan pada 3.36 pagi semalam.

Katanya, ia susulan laporan seorang lelaki 19 tahun yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki dikenali ketika berada dekat gelanggang bola keranjang kelmarin.

Pada 7.05 malam hari sama, beliau berkata, polis menerima satu lagi laporan daripada salah seorang suspek memaklumkan dia dipukul mangsa sehingga cedera.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa menghalang salah seorang suspek meneruskan hubungan dengan kakak saudaranya.

“Berikutan itu, polis menahan dua lelaki, termasuk pengadu pertama bagi membantu siasatan kes ini,” katanya menurut Harian Metro.

Iqbal berkata, dua suspek mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah, dengan ujian saringan awal air kencing suspek berusia 25 tahun positif dadah.

Katanya, kedua-duanya direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Syer Aidid di talian 013-6544996.

Terdahulu, klip video tular di Facebook menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan kayu serta parang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.