
Menteri Komunikasi itu berkata Mahathir perlu merenung kembali kekalahannya di Langkawi pada PRU15 sehingga hilang deposit manakala Anwar berjaya merampas Parlimen Tambun.
“Jadi saya sarankan sebagai negarawan beliau harus muhasabah dalam hari-hari senja ini.
“Kita harus meninggalkan satu legasi murni daripada cuma menakut-nakutkan dan keluarkan cerita seperti ini,” katanya selepas melancarkan pakej P-Panggilan Rahmah.
Beliau mengulas kenyataan Mahathir semalam yang mendakwa Anwar dilihat terpaksa menggerakkan siasatan terhadap individu tertentu kerana kedudukannya sebagai perdana menteri adalah dilantik secara kebetulan dan bukan dipilih secara majoriti oleh rakyat.
Malah, Mahathir berkata sepanjang pentadbirannya, Anwar dilihat tidak berjaya menangani isu ekonomi, politik dan masalah sosial, termasuk takut dengan bayang-bayang sendiri, khususnya melalui ura-ura wujudnya Langkah Dubai.
Sementara itu, Fahmi menafikan wujud campur tangan ‘orang dalam kerajaan’ membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“SPRM bebas lakukan sebarang siasatan yang dirasakan wajar, kita tidak masuk campur… jadi terserah kepada SPRM untuk lakukan sebarang tindakan yang berlandaskan undang-undang yang dirasakan perlu dan wajar,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Mahathir hanya cuba bermain persepsi apabila mendakwa siasatan SPRM terhadap individu tertentu bersikap politik dan dendam.