
PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai meninggal dunia akibat lemas ketika melakukan latihan menyelam di perairan Pulau Payar, Alor Setar semalam.
Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata, wanita berusia 43 tahun itu beralamat di Kajang, Selangor.
Katanya, polis menerima maklumat itu selepas Balai Polis Langgar dimaklumkan oleh petugas Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada 2 petang semalam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan dari Jeti Kuala Kedah ke HSB.
“Berdasarkan siasatan, mangsa ketika itu menjalani latihan menyelam bersama sebuah syarikat berlesen tempatan di perairan Pulau Payar sebelum dia dipercayai lemas,” katanya menurut Harian Metro.
Shukri berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.