Protes projek loji sisa: Selangor buat libat urus dengan penduduk Rawang, kata MB

Protes projek loji sisa: Selangor buat libat urus dengan penduduk Rawang, kata MB

Amirudin Shari berkata teknologi WTE bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pembuangan sampah di tapak pelupusan yang memberikan kesan buruk kepada komuniti.

Protes terhadap pembinaan loji pembakaran sisa di Batu Arang semalam adalah yang kedua dianjurkan oleh penduduk yang membantah projek itu. (Gambar File)
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri Selangor menerusi anak syarikatnya, KDEB Waste Management sedang melaksanakan libat urus bersama penduduk Rawang berkait cadangan pembinaan loji pembakaran sisa di Batu Arang, Gombak.

Kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari itu susulan laporan kira-kira 300 penduduk di kawasan itu mengadakan protes membantah cadangan pembinaan loji bernilai RM4.5 bilion itu.

“Kerajaan negeri sedang dan akan (terus) melaksanakan libat urus melalui KDEB Waste bersama penduduk untuk memberikan maklumat tepat berkenaan perancangan pembangunan loji waste-to-energy (sisa kepada tenaga),” kata Amirudin dalam kenyataan.

Menurut Amirudin, teknologi WTE yang bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pembuangan sampah di tapak pelupusan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar, malah telah dibangunkan di negara maju.

“Teknologi yang dirancang bukan dari zaman 70-an ataupun 80-an. Industri WTE telah dibangunkan di negara-negara maju dengan teknologi mampan yang tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar,” katanya.

Gerakan RT Network yang mewakili penduduk Batu Arang, M Residence, Kota Puteri dan Bandar Tasik Puteri membantah pembinaan loji tenaga hijau Sultan Idris Shah itu, dengan menyatakan kebimbangan mengenai impaknya terhadap alam sekitar.

Jurucakapnya, Abdul Hanan Mokti berkata mereka menghantar memorandum kepada Amirudin pada Disember tetapi masih belum menerima maklum balas.

Sebaliknya, beberapa penduduk dijemput untuk menghadiri mesyuarat di pejabat KDEB Waste Management untuk mendengar alasan syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.