
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan ketua-ketua kampung akan digerakkan bagi tujuan itu.
“Oleh sebab terdapat kaedah permohonan (pendaftaran) secara manual, maka kita akan lakukan sesegera mungkin bagi menentukan kumpulan sasaran ini … pihak Kemas dan ketua-ketua kampung yang dilantik akan dimobilisasi untuk melakukan pendaftaran Padu.
“Borang akan disediakan kerana tidak semua boleh mendaftar secara dalam talian, maka kita mesti membantu rakyat luar bandar dan desa mendaftar secara manual,” katanya kepada media selepas Majlis Ponggal Perpaduan 2024 hari ini.
Pendaftaran Padu dibuka kepada orang ramai hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.
Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lepas bertujuan menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.