Rugi lebih RM300,000 sehari akibat paip bocor

Rugi lebih RM300,000 sehari akibat paip bocor

PBAPP berkata paip bocor di dasar Sungai Perai melibatkan kehilangan hasil 154 juta liter air terawat sehari.

K Pathmanathan berkata air sungai dan air terawat tidak akan bercampur memandangkan bekalan melalui paip pada kelajuan 6,300 meter padu sejam. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerugian RM323,000 sehari susulan kebocoran paip di dasar Sungai Perai.

Ketua Pegawai Eksekutif K Pathmanathan, berkata ia berdasarkan kehilangan hasil 154 juta liter air terawat sehari sejak kebocoran berlaku.

Paip tersebut yang menghantar bekalan air terawat dari Butterworth ke sebahagian pulau, pertama kali bocor pada 18 Dis, kemudian bocor semula pada 10 Jan, dan untuk kali ketiga ketika pembaikan injap pada 11 Jan.

Pathmanathan berkata, pihak syarikat mengambil langkah melencongkan paip pada permukaan. Katanya, kerja lencongan bermula 13 Jan dan dijangka selesai pada 2 Feb.

“Keutamaan kita adalah mengalirkan air ke semua paip. Itu menjadi keutamaan utama. Pada masa sama, kita akan menutup kebocoran secepat mungkin,” katanya.

Pathmanathan juga meredakan kebimbangan kebocoran semasa di dasar Sungai Perai akan menyebabkan air sungai bercampur dengan bekalan air terawat.

Katanya, air melalui paip pada kelajuan 6,300 meter padu sejam, dan sebahagian daripadanya bocor, menjadikan mustahil bagi air sungai masuk pada ruang bocor.

Beliau berkata, PBAPP mempunyai sejumlah besar stesen pemantauan kualiti air dan 256 titik sampel dengan data tersedia mengikut keperluan.

“Kualiti air kita kekal terbaiuk dan melepasi piawaian ditetapkan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.