Pengurus wanita rugi lebih RM500,000, scammer menyamar adik

Pengurus wanita rugi lebih RM500,000, scammer menyamar adik

Mangsa diarahkan membuat pindahan wang kerana yakin sedang berurusan dengan adiknya sendiri.

Ketua Polis Iskandar Puteri Rahmat Ariffin, berkata mangsa tidak menyedari nombor telefon digunakan scammer itu berbeza dengan nombor sebenar digunakan adiknya.
JOHOR BAHRU:
Seorang pengurus wanita kerugian lebih setengah juta ringgit selepas dipercayai menjadi mangsa scammer yang menyamar sebagai adiknya.

Ketua Polis Iskandar Puteri Rahmat Ariffin, berkata wanita berusia 31 tahun yang merupakan pengurus sebuah syarikat itu, membuat laporan polis pada 4.20 petang, semalam.

Beliau berkata, scammer tersebut yang menyamar sebagai adik lelaki mangsa berusia 29 tahun, telah menghantar mesej menerusi Whatsapp dan mengarahkannya membuat pemindahan wang RM570,174 bagi tujuan urusan perniagaan.

“Nombor telefon tersebut tidak sama dengan nombor telefon sebenar adiknya. Bagaimanapun, dengan tanpa ada rasa ragu, mangsa membuat pindahan wang tersebut ke akaun yang diberikan oleh scammer itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, adik mangsa turut menafikan telah meminta wang berkenaan daripada mangsa.

Rahmat berkata susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Iskandar Puteri telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai katanya, turut dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej atau panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali serta membuat semakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.