Kes rangka manusia di rumah terbiar, 3 direman bantu siasatan

Kes rangka manusia di rumah terbiar, 3 direman bantu siasatan

Ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 39 tahun itu akan direman hingga 27 Jan, kata Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah.

Siasatan terhadap ketiga-tiga suspek yang telah direman itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki telah direman untuk membantu siasatan dalam kes penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah sewa terbiar di Batu Pahat petang semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 39 tahun itu akan direman hingga 27 Jan, kata Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah.

“Perintah reman terhadap semua suspek itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian melaporkan, ketiga-tiga suspek itu, dipercayai termasuk teman lelaki mangsa dan bapa saudara lelaki itu, ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan rangka yang tidak sempurna itu.

Penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah petang semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan seorang wanita dikenali sebagai Mira Sharmila Samsusah, atau Bella, sejak 14 Dis lepas.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka tersebut ditemukan kira-kira 2 petang selepas pihaknya dibawa ke lokasi kejadian oleh seorang suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita itu.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu secepat mungkin.

Dalam pada itu, Ismail berkata, bedah siasat ke atas rangka itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pagi tadi.

Katanya, sampel patologi juga telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas dikatakan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, Bella, 32, gagal dikesan selepas itu dengan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.