
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, mangsa 50 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 26 Nov lalu.
Katanya, suspek mendakwa mangsa dikehendaki kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram, sebelum menyambung panggilan telefon kepada individu lain kononnya pegawai polis bagi tujuan siasatan.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa memindahkan wang ke akaun diberikan bagi tujuan siasatan dan menyelesaikan kes tersebut,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa yang akur dengan arahan itu kemudiannya membuat pinjaman bank dan menjual barang kemas sebelum membuat 10 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank.
“Selepas wang dipindahkan, mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan di sebuah balai polis di Jerantut.”