
Presiden Gerakan Dominic Lau, berkata pihaknya meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa berhubung perkara tersebut pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, dipengerusikan Muhyiddin Yassin malam tadi dan rata-rata pemimpin gabungan itu menzahirkan sentimen sama.
“Semasa (mesyuarat) Majlis Tertinggi PN, Gerakan bangkitkan yang kita tak boleh terima, tidak puas hati dan kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir yang (seolah-olah) mempersoalkan kesetiaan masyarakat India.
“Ramai pemimpin PN pun, termasuk (Pengerusi PN) Muhyiddin, ada persefahaman yang kenyataan Tun M tidak sesuai,” katanya sambil menegaskan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya menjadi garis panduan pentadbiran negara.
Pada sidang media, Lau berkata, Mahathir mengeluarkan kenyataan sedemikian disebabkan ‘faktor usianya yang sudah lanjut’.
“Kita anggap Mahathir sebagai bekas perdana menteri dan ahli politik berpengalaman, kemungkinan besar umurnya yang sudah tua (lalu) beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini,” katanya.
Apabila ditanya sama ada kenyataan Mahathir itu akan menjejaskan sokongan terhadap PN, Lau berkata, ini mungkin tidak berlaku kerana Mahathir bukan sebahagian PN.
Tambahnya, PN hanya memperoleh manfaat daripada kekuatan bekas perdana menteri itu, iaitu pengalaman dan rangkaiannya.
“Kita hanya dapatkan nasihat Mahathir untuk kebaikan empat negeri (diterajui PN) kerana pengalaman, ‘network’ beliau memang baik, dan boleh membantu keempat-empat negeri ini,” kata Lau merujuk kepada peranan Mahathir sebagai penasihat SG4.
“Kita menggunakan kekuatan beliau untuk kebaikan rakyat, kalau beliau boleh bawa kebaikan kepada ekonomi negara, memang kita alu-alukan”.
Terdahulu, dalam temu bual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.
Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.
Kenyataan dikeluarkannya dalam temu bual itu mengundang banyak kritikan.