
Panglima Tentera Laut, Abdul Rahman Ayob, berkata SPRM juga mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan kes yang difahamkan membabitkan projek tahun lalu, dan beliau menegaskan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada siasatan terbabit.
“Biar mereka (SPRM) teruskan kerja dan kita tunggu sehingga keputusan siasatan nanti. TLDM tidak berkompromi dengan mana-mana anggotanya yang terlibat dengan salah laku dan mereka seharusnya sedar tindakan yang akan dihadapi jika melakukan kesalahan,” katanya.
Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Upacara Penamaan dan Pentauliahan Patrol Craft (PC) TLDM iaitu KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang.
Ketika ditanya jika TLDM akan melakukan siasatan dalaman berhubung perkara itu, Rahman berkata pihaknya akan menunggu laporan SPRM terlebih dahulu sebelum memutuskan perkara berkenaan.
Semalam, SPRM mengesahkan penahanan tiga lelaki berumur antara 28 hingga 47 tahun di Pejabat SPRM Johor untuk membantu siasatan melibatkan kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang “kartel perolehan” kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di kem berkenaan.
Pembayaran penuh bagi projek itu difahamkan telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini membenarkan permohonan reman tiga lelaki berkenaan selama tujuh hari hingga 25 Jan ini bagi membolehkan siasatan bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
TAG: