
Pestech Technology, anak syarikat milik penuh Pestech International Bhd, mempunyai kontrak RM742.95 juta untuk projek aerotren yang ditamatkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tahun lalu akibat penangguhan berterusan dalam penghantarannya.
Rabu lalu, MAHB memeterai perjanjian untuk menyiapkan projek itu dengan Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd dan usaha sama membabitkan IJM Construction Sdn Bhd serta Pestech Technology.
Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet berhubung alasan Pestech Technology kembali terbabit dalam projek itu dan sama ada Loke terbabit dalam penawaran kontrak berkenaan.
Loke dalam sidang media hari ini berkata, projek aerotren itu bukan projek kerajaan, sebaliknya di bawah MAHB.
“Walaupun mereka lapor kepada kita, dari segi pemberian kontrak, ia diputuskan lembaga pengarah MAHB.”
Katanya, pertanyaan berhubung kenaikan kos projek itu kira-kira 15% perlu ditujukan kepada MAHB.
“Mengenai kos, saya rasa MAHB boleh jawab.”
Pestech Technology pada mulanya dilantik sebagai kontraktor reka bentuk dan binaan untuk program penggantian aerotren KLIA pada 14 Dis 2021 melalui proses tender terbuka.
MAHB kemudian menamatkan kontrak itu atas alasan syarikat itu tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan dalam menyiapkan projek pada tarikh akhir ditetapkan.
Perkhidmatan aerotren berusia 25 tahun digantung sejak Mac 2023, selepas dikritik orang ramai kerana kerosakan berterusan. Gangguan terakhir pada Mac lalu menyaksikan 114 penumpang terkandas antara terminal utama KLIA dan terminal berlepas antarabangsa.
Di bawah perjanjian baru itu, Alstrom, pengeluar peralatan asal aerotren baru, akan bertindak sebagai ketua penyelarasan projek dan bertanggungjawab untuk kerja penyelarasan bagi memulakan semula projek itu serta menghantar tiga kereta api baru dan dua laluan menjelang suku pertama 2025.
MAHB berkata, Alstom mempunyai rekod prestasi bagus dalam usaha sama di lapangan terbang lain di Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Jerman, antara lain.
Katanya, Alstom memilih untuk bekerjasama dengan IJM Construction dan Pestech Technology kerana ia diberi kebebasan memilih rakan kongsinya bagi sebarang kerja di luar skop mereka.
Semalam, New Straits Times memetik RHB Research sebagai berkata, kontrak baru untuk baki kerja mungkin 30% lebih tinggi daripada nilai ketika kontrak Pestech Technology ditamatkan.
Tetapi, akhbar itu kemudiannya memetik jurucakap MAHB sebagai berkata, kenaikan kos akan dihadkan kepada 15%.
Peningkatan itu disebabkan kos pegangan faedah, pertimbangan pertukaran asing, perbelanjaan mobilisasi semula, termasuk yuran penyelarasan projek kepada Alstom.